TUMPAT: Penduduk Kampung Pulau Cendol di sini mengeluh urusan harian ‘tergendala’ selepas operasi bot yang menjadi pengangkutan utama di situ terjejas ekoran pesisir Sungai Kelantan semakin cetek.
Keadaan itu turut menyebabkan murid tidak dapat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa yang terletak lebih 10 kilometer dari kampung tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Zaki Husin, 30, berkata, masalah itu menyebabkan mereka terpaksa menolak bot dalam lumpur tebal ke kawasan air yang lebih dalam.
“Kebanyakan penduduk terpaksa mendaratkan bot mereka di pulau lain sebelum berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk sampai ke Pulau Cendol.
“Pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran pernah menggali pesisir sungai di pulau ini untuk mendalamkan kawasan dasarnya beberapa tahun lalu, namun ia kembali cetek sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Gayah Hasan, 64, mengakui masalah itu menyebabkan aktiviti hariannya mengikuti kuliah agama di Pulau Cendol Luar kerap terganggu.
Katanya, penduduk di sini bergantung penuh kepada penggunaan bot sebagai pengangkutan utama untuk bergerak.
“Sekiranya keadaan air cetek ini kerap berlaku, ia menyusahkan kami kerana sering terputus hubungan.
“Anak saya yang menetap di Kuala Lumpur akan pulang ke kampung kerana mahu berpantang selepas bersalin di sini tidak lama lagi. Saya risau sekiranya berlaku kecemasan nanti sehingga kami tidak boleh bergerak ke bandar Tumpat,” katanya.
Sebelum ini, ada penduduk pernah mencadangkan pembinaan jambatan sepanjang 30 meter bagi merentasi Sungai Kelantan untuk menghubungkan dua pulau iaitu Pulau Cendol Dalam dan Pulau Cendol Luar.
Sementara itu, ADUN Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan ketika dihubungi memaklumkan masalah air cetek di Pulau Cendol dalam perhatiannya.
“Kawasan pesisir sungai di kampung itu sudah beberapa kali digali, namun ia kembali cetek selepas banjir,” katanya. – UTUSAN











