Pernyataan Fadzlette relevan sebagai keterangan - Peguam - Utusan Malaysia

Pernyataan Fadzlette relevan sebagai keterangan – Peguam

AHMAD Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/SHIDIQQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pernyataan bertulis seorang bekas pegawai kanan tentera yang dikemukakan pada perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan relevan dan wajar diterima masuk sepenuhnya oleh Mahkamah Tinggi di sini sebagai keterangan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pernyataan Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican penting bertujuan mencabar kredibiliti dan perlakuan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Hujah beliau, Fadzlette merupakan saksi pembelaan bebas dan keterangan beliau material bagi menunjukkan perlakuan Mazlina yang disifatkan cuai, enggan menurut perintah dan membelakangkan arahan yang diberikan.

Sehubungan itu, Hisyam berhujah, pernyataan bertulis Fadzlette tidak sepatutnya dipadam dan wajar diterima keseluruhannya dalam perbicaraan tersebut selagi keterangannya relevan bagi menyanggah kredibiliti Mazlina.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, tiada bukti yang menunjukkan Mazlina bertindak berat sebelah dan mempunyai niat tidak baik terhadap bekas ketuanya sendiri.

Hujah beliau, Mazlina sudah disoal balas ketika kes pendakwaan berhubung kredibilitinya dan sama ada beliau saksi yang boleh dipercayai atau sebaliknya, akan ditentukan oleh hakim bicara pada akhir perbicaraan kelak.

Semalam, Raja Rozela memohon perenggan 16 hingga 30 dalam pernyataan bertulis Fadzlette dipadam kerana ia dilihat sebagai satu lagi percubaan untuk menggugat kredibiliti Mazlina yang merupakan salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes tersebut.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan esok bagi keputusan.

Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO, sepatutnya dipanggil sebagai saksi pembelaan kedua pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Bekas pegawai kanan tentera itu juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Raja Rozela sebelum ini berhujah, perenggan-perenggan tersebut hanya bertujuan menggoyah keterangan Mazlina dan memohon agar tidak dimasukkan sebagai keterangan.

Hujah beliau, perenggan-perenggan tersebut hanya bersifat sampingan dan tidak relevan atau mempunyai kesan terhadap perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Raja Rozela menyatakan, jika keseluruhan pernyataan Fadzlette dibenar dan diterima masuk sebagai keterangan, tindakan mengemukakan keterangan sampingan yang tiada kena mengena dengan fakta kes, tidak akan ada kesudahannya.

Hujah beliau, keterangan mengenai kredibiliti Mazlina yang tidak boleh dipercayai dan berat sebelah telah dibangkitkan berulang kali dan dicabar dalam perbicaraan lalu.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadinya, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya