KUALA LUMPUR: Perjumpaan pimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ UMNO akan diadakan pada tarikh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terbaharu yang akan diumumkan Setiausaha Agung parti itu kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO berkenaan sebelum mengadakan mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat MKT parti itu.
“Hari Sabtu ini patutnya mesyuarat MKT khas, tetapi ditangguhkan. Jadi kita tunggu tarikh barulah.
“Setiausaha Agung akan umumkan tarikh, tunggu dia punya pengumuman. Sebelum MKT kita akan bincang balik, sebelum MKT ada Top 5, ada Biro Politik, malam baru ada MKT,” katanya pada program Malam Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, malam ini.
Terdahulu, beliau dijangka mengadakan pertemuan lebih awal bersama lima pemimpin tertinggi UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum pembentangan Bajet 2023.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan dirujuk dalam satu mesyuarat bersama kepemimpinan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberi jaminan terhadap kebebasan media dalam melaporkan berita selagi tidak bertentangan dengan undang-undang yang ditetapkan.
“Kerajaan tidak akan pernah campur tangan dalam kebebasan media, kita beri kebebasan sepenuhnya kepada media asalkan laporan itu tepat.
“Selagi laporan itu sahih, bukan fitnah, bertanggungjawab, tentu tidak ada masalah dengan kerajaan. Saya sentiasa beri jaminan kepada kebebasan akhbar di negara kita,” katanya. – UTUSAN