Percayakan dua pegawai bank, kontraktor dakwa ditipu RM13 juta

Percayakan dua pegawai bank, kontraktor dakwa ditipu RM13 juta

CHIN (kiri) dan H"ng Kheen Long dalam sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Gara-gara terlalu mempercayai dua pegawai bank dalam urusan pembiayaan semula rumah, seorang kontraktor di sini kini hidup tertekan selepas mendakwa ditipu dan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM13.3 juta.

Lebih memeritkan, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, 59, itu turut menanggung hutang dengan saudara-mara dan kenalan lain sebanyak RM8 juta dengan jumlah selebihnya merupakan wang simpanan sendiri.

Chin mendakwa, dia diperdaya untuk memberi pinjaman kepada kedua-dua individu itu termasuk seorang yang berjawatan pengurus bank kononnya bagi tujuan pembayaran semula rumah kepada beberapa peminjam.

Malah katanya, kedua-dua individu terbabit yang dikenali sebagai Teh dan Yeap turut meyakinkannya dengan menunjukkan dokumen seperti geran hartanah dan perjanjian pembiayaan semula daripada bank yang sebenarnya adalah palsu.

Jelas Chin, dia mula meminjamkan wang kepada dua pegawai bank berkenaan sejak Oktober 2020 hingga November 2021 masing-masing sebanyak RM6.4 juta kepada Teh manakala RM6.9 juta lagi kepada Yeap.

“Wang itu kononnya untuk diberikan terlebih dahulu kepada peminjam yang berjaya membuat pembiayaan semula rumah dan akan dibayar semula kepada saya apabila peminjam terbabit menerima wang mereka daripada bank.

“Bagaimanapun sehingga kini, kedua-dua individu berkenaan tidak membayar semula wang saya dan lebih mengejutkan mereka turut mengaku sebahagian dokumen pembiayaan semula rumah itu adalah palsu,” katanya.

Chin berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan negeri, H”ng Khoon Leng di ibu pejabat Parti Gerakan negeri, di sini hari ini.

Menurut Chin, dia merayu kedua-dua individu terbabit membayar semula wangnya memandangkan dia kini terpaksa menjual harta benda termasuk kereta dan barang kemas untuk melunaskan pinjaman yang dibuat daripada keluarga dan kenalan.

Malah katanya, dia juga sudah membuat laporan polis terhadap kedua-dua individu berkenaan memandangkan salah seorang daripada mereka sudah menghilangkan diri manakala seorang lagi enggan bertanggungjawab.

Jelasnya, dia juga difahamkan kedua-dua individu berkenaan tidak lagi bekerja dengan bank sejak Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Khoon Leng berkata, pihaknya akan cuba membantu Chin dalam kes terbabit dan berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada orang lain supaya lebih berhati-hati dalam memberikan pinjaman kepada pihak lain.

“Kita juga akan merujuk kes ini kepada Bank Negara Malaysia memandangkan jelas terdapat penyalahgunaan sistem bank terutama berhubung penggunaan dokumen pembiayaan semula rumah yang digunakan kedua-dua pegawai bank ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya