KOTA KINABALU: Pendakwah terkenal, Ebit Lew atau Ebit Irawan Ibrahim, 37, akan dibicarakan di Mahkamah Majistret Tenom atas pertuduhan gangguan seksual pada 27 hingga 30 September ini.
Ebit didakwa atas 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp pada 18 Februari lalu.
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang wanita Melayu.
Pertuduhan itu dibacakan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan Ebit dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dan Ebit diwakili peguam, Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Dengan itu, beliau didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan
Dakwaan terhadap Ebit itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021. – UTUSAN
INFO
7 Ogos 2021: Laporan polis dibuat terhadap Ebit yang didakwa membuat hantaran dan perkataan lucah melalui aplikasi Whatsapp.
18 Februari 2022: Ebit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Tenom atas 11 pertuduhan gangguan seksual. Ebit mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin.
27-30 September 2022: Bermulanya perbicaraan kes Ebit Lew.










