Penjara 10 tahun, denda RM970 juta

Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970j

Rosmah Mansor keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas didapati bersalah meminta suapan dan menerima rasuah, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun dibicarakan, Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta ke atas Datin Seri Rosmah Mansor, 70, selepas didapati bersalah meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga tertuduh membuat rayuan.

Hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta itu dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah enam tahun lalu.

Rosmah juga boleh dikatakan individu pertama dikenakan denda hampir RM1 bilion dalam kes membabitkan rasuah.

Peguam belanya, Datuk Jagjit Singh ketika membuat rayuan menyatakan sebagai seorang yang tidak bekerja, beliau tidak tahu bagaimana Rosmah akan dapat mencari wang untuk membayar denda tersebut.

“Bagaimana beliau akan mencari wang (untuk bayar denda), kami tidak tahu. Mungkin kena minta suatu keajaiban,” katanya.

Walaupun Rosmah hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengarahkan ajar hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan secara serentak, namun gagal membayar denda tersebut boleh menyebabkan wanita dipenjara lagi 30 tahun.

“Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa hukuman penjara akibat gagal membayar denda tidak boleh dijalankan secara serentak.

“Oleh itu, memandangkan Yang Arif telah memutuskan gagal bayar denda, tertuduh boleh dikenakan penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan maka secara keseluruhan, hukuman penjara sekiranya gagal bayar denda, ialah 30 tahun,” ujar Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Kini, Rosmah dibebaskan dengan jaminan RM2 juta yang telah dibayar sebelum ini sementara menunggu rayuannya diputuskan. Pembayaran denda itu juga telah digantung sehingga rayuan tersebut dilupuskan.

Rosmah didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Hol­ding Sdn. Bhd. mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN