BIARPUN satu dunia berdepan pandemik Covid-19 yang kini dalam peralihan ke fasa endemik, penggiat industri muzik berjaya menghasilkan karya terbaik yang menjadi cerminan perkembangan positif sektor kreatif.
Ini dibuktikan apabila pencalonan Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM 23 ) banyak didominasi pengkarya muda yang menggunakan tempoh berkurung dan fasa sukar itu untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi.
Ketua Juri AIM 23, Datuk Mokhzani Ismail berkata, karya muzik dihasilkan dalam tempoh pandemik cukup hebat sehingga menyukarkan 113 juri membuat pilihan karya terbaik yang layak mengungguli 21 kategori dipertandingkan.
“Kita dapat lihat daripada senarai calon akhir, banyak didominasi oleh pengkarya muda. Tidak ketinggalan mereka yang sudah lama bertapak dalam industri. Ini persaingan sihat dan menunjukkan perkembangan positif industri muzik tanah air.
“Saya boleh katakan, karya yang dihasilkan ketika dan selepas pandemik sangat hebat. Tempoh berkurung ternyata memberi cukup masa kepada pengkarya memerah otak menghasilkan produk berkualiti tinggi.
“Walaupun ada kekangan daripada sudut pergerakan dan pelbagai lagi cabaran, tempoh itu dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan produk yang baik,” katanya.
Tambah Mokhzani, proses penjurian untuk edisi kali ini cukup mencabar kerana juri diberi tempoh 13 hari untuk menilai 650 karya dalam kriteria berbeza bagi setiap kategori dipertandingkan.
Para juri yang diketuai Mokhzani sendiri turut dibarisi pemuzik handalan lain seperti Fauzi Marzuki, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Syafinaz Selamat, Mas Idayu, Noryn Aziz, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam dan ramai lagi.
“Kepakaran setiap juri dalam bidang masing-masing memudahkan proses penjurian. Biarpun tempoh penjurian hanya 13 hari, mereka memastikan karya dihantar dinilai secara teliti dan saksama.
“Mereka pula bukan calang-calang, sebaliknya masing-masing yang dipilih adalah pakar dalam kategori dipertanggungjawabkan. Ini bagi mengelak wujud konflik berkepentingan berikutan AIM 23 mencari kualiti, bukan populariti,”katanya.
DOMINASI BELAGU, DAYANG NURFAIZAH
Edisi kali ini memperlihatkan penyanyi bersuara emas, Dayang Nurfaizah mengungguli senarai pencalonan dengan enam nominasi menerusi album Belagu.
Dayang mendominasi hampir kesemua kategori utama termasuk Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik (Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi) dan Rakaman Album Terbaik.
Penyanyi kelahiran Sarawak itu turut menerima dua lagi pencalonan bagi kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi.
Tidak ketinggalan, penyanyi, Yonnyboii dan Ernie Zakri mengikut rapat Dayang dengan masing-masing menerima empat pencalonan.
Ernie tercalon bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Sinar Mata Hati), selain dua kategori bagi Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama suaminya, Syamel dalam lagu Goodbye Hello serta Berakhirlah Pencarianku, duet bersama Hafiz Suip.
Album Yonnyboii (Deluxe Version) pula tercalon dalam kategori Rakaman Album Terbaik dan Album Terbaik, selain menerima dua pencalonan bagi kategori Lagu R&B/ Hip Hop Terbaik menerusi Tak Sangka dan Orang Lain.
TRIO PENGACARA, PERSEMBAHAN
Bakal berlangsung pada 11 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pentas AIM 23 bakal menyaksikan gabungan tiga selebriti popular, Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin sebagai pengacara.
Mengangkat tema Glam and Sophisticated, AIM23 juga membariskan persembahan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nikki Palikat, Aina Abdul, Liza Hanim dan Ella.
Malah, pentas berprestij itu juga bakal memberi kejutan menerusi persembahan penyanyi baharu dan berbakat seperti Janna Nick, Vanessa Reynold, Amir Masdi, Insomniacks, Naufal dan Nuha.
Tidak ketinggalan, penampilan penyanyi Indonesia, Keisya Levronka yang turut tercalon dalam kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing menjadi taruhan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23 dan RIM, Rosmin Hashim berkata, setiap selebriti yang membuat persembahan dan penyampai anugerah dipilih menerusi penilaian teliti bersama Astro bagi memberi impak kepada edisi kali ini.
“Trio dinamik itu dipilih sebagai hos kerana kami yakin dengan kemampuan mereka menghiburkan serta menyuntik jenaka lucu supaya penonton tidak kering gusi. Kami yakin mereka bakal menghidupkan suasana persembahan anugerah pada malam itu.
“Pemilihan setiap persembahan juga dilakukan dengan teliti supaya penonton merasai kehangatan serta ‘nafas’ pacuan industri muzik yang semakin laju ke hadapan,” katanya.
Selebriti popular tanah air yang bakal menggalas tugas selaku penyampai anugerah ialah Datuk M Nasir, Ziana Zain, Khai Bahar, Wany Hasrita, Jaclyn Victor dan Datuk Adi Putra.











