PETALING JAYA: Seorang pengawal peribadi ditahan akibat memiliki kerambit dan objek menyerupai pistol di sebuah stesen minyak di Ukay Perdana, Hulu Klang, dekat sini, awal pagi hari ini.
Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Hulu Klang membuat rondaan di lokasi kejadian pada pukul 1.56 pagi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan di dalam beg silang suspek menjumpai sebilah kerambit, objek menyerupai pistol dan satu unit walkie talkie.
“Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkait kes dadah dan saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.
Tambanya, suspek direman empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960. – UTUSAN