Pendakwa mohon padam sebahagian pernyataan saksi kes Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Pendakwa mohon padam sebahagian pernyataan saksi kes Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/SHIDIQQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebahagian pernyataan bertulis seorang bekas pegawai kanan tentera yang dikemukakan pada perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai satu lagi percubaan untuk menggugat kredibiliti salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pernyataan tertentu Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican hanya bertujuan menggoyah keterangan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Sehubungan itu, Raja Rozela memohon sebahagian pernyataan bertulis Fadzlette dipadam dan tidak dimasukkan sebagai keterangan.

Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO, dipanggil sebagai saksi pembelaan kedua pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Bekas pegawai kanan tentera itu juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Ketika mahkamah mula bersidang, Raja Rozela membantah perenggan 16 hingga 30 yang terkandung dalam pernyataan bertulis Fadzlette yang dianggap menyentuh kredibiliti Mazlina.

Hujah beliau, perenggan-perenggan tersebut hanya bersifat sampingan dan tidak relevan atau mempunyai kesan terhadap perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Raja Rozela menyatakan, jika keseluruhan pernyataan Fadzlette dibenar dan diterima masuk sebagai keterangan, tindakan mengemukakan keterangan sampingan yang tiada kena mengena dengan fakta kes, tidak akan ada kesudahannya.

Hujah beliau, keterangan mengenai kredibiliti Mazlina yang tidak boleh dipercayai dan berat sebelah telah dibangkitkan berulang kali dan dicabar dalam perbicaraan lalu.

Raja Rozela menghujahkan, keterangan yang dikemukakan perlu relevan dengan fakta kes dan mahkamah mempunyai kuasa untuk mengawal kemasukan keterangan yang akan dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Raja Rozela memaklumkan, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan serupa melibatkan beberapa saksi pembelaan yang lain.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan bagi membalas hujahan tersebut.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadinya, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan pihak pembelaan berhujah esok.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar keterangan Fadzlette selepas bekas Timbalan Perdana Menteri selesai memberikan keterangan bela diri sebagai saksi pembelaan pertama pada 30 Ogos lalu.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya