Pembayaran palsu lebih 23 juta: Dua beradik ditahan SPRM

Pembayaran palsu lebih RM23 juta: Dua beradik ditahan SPRM

DUA beradik ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes membuat pembayaran palsu bernilai lebih RM23 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua beradik ditahan reman selama tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes membuat pembayaran palsu bernilai lebih RM23 juta bagi projek pembinaan pangsapuri.

Menurut sumber, dua suspek lelaki yang merupakan bekas pengarah urusan syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 60-an berkenaan disyaki membuat pembayaran palsu dan curang kepada perunding, sub-kontraktor dan pihak-pihak ketiga dengan menggunakan kemudahan perbankan overdraf sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta.

“(Kegiatan itu dibuat) antara tahun 2017 hingga 2019 bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta sedangkan projek tersebut tidak dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, permohonan reman bermula hari ini sehingga 23 September dibenarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut  Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN