Pemandu e-hailing didakwa tikam, cederakan kekasih

Pemandu e-hailing didakwa tikam, cederakan kekasih

MOHAMAD Noor Faiz Md. Hairi didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan menikam dan mencederakan teman wanitanya, Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menikam dan mencederakan kekasihnya, seorang akauntan di Masai pada 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Noor Faiz Md. Hairi, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman. Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Noor Faiz didakwa menikam Sheery Hazmah Yasib, 34, di Apartmen Meridin Bayvue, Taman Sierra Perdana, Masai dengan sebilah pisau pada pukul 12.57 tengah hari, 31 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun atau boleh dihukum mati jika kecederaan dilakukan tertuduh serta tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Noor Faiz didakwa  mencederakan Sheery Hazmah menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa yang sama. Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar jaminan dapat dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai seorang pemandu e-hailing tanpa pendapatan tetap selain turut menanggung empat ahli keluarga.

Mahkamah  menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain menetapkan beberapa syarat tambahan, iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa atau saksi, perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsanya.

Siti Noraida  menetapkan 6 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa. Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Difahamkan, mangsa masih dalam keadaan parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan, tertuduh mencederakan kekasihnya itu kerana mangsa enggan kembali menyambung percintaan mereka. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya