KUALA LUMPUR: Orang ramai digalak terus memakai pelitup muka dalam bangunan kerana ia bukan sahaja mencegah penularan Covid-19, namun penyakit-penyakit lain yang berisiko menjejaskan saluran pernafasan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, langkah itu disifatkan wajar meskipun kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan atau di kawasan tertutup.
“Kita bukan sahaja mahu melindungi diri daripada Covid-9 tetapi juga penyakit lain yang ditularkan melalui pernafasan seperti influenza,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, ramai yang beranggapan negara sudah memasuki fasa endemik dan tidak perlu lagi memakai pelitup muka tetapi mereka yang bergejala dinasihat terus memakainya.
Mengulas dakwaan orang ramai yang peraturan itu dilihat tidak praktikal apabila kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam dan kapal terbang, Sazaly berkata, ia disebabkan faktor pengudaraan.

“Dalam bangunan mungkin ada pertukaran udara yang tinggi berbanding pengangkutan awam atau bergantung di mana kita berada,” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbarnya kelmarin memaklumkan, pemakaian pelitup muka dalam bangunan tidak lagi diwajibkan mengambil kira situasi Covid-19.
Pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai atau boleh memilih memakai pelitup muka, namun, ia masih diwajibkan kepada individu bergejala apabila menaiki pengangkutan awam, perkhidmatan seru, kapal terbang, bas kerja dan van sekolah.
Sementara itu, Felo Akademi Profesor Malaysia (APM) juga Profesor Perubatan Komuniti, Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, langkah diambil kerajaan wajar setelah mempertimbang peralihan ke endemik, kadar vaksinasi negara tinggi selain rawatan di hospital dan kadar kematian menurun. –UTUSAN
Antara penyakit berkaitan sistem pernafasan:
» Asma
» Bronkitis danbronkitis akut
» Emfisema
» Kanser paru-paru
» Batuk kering
» Radang paru-paru (Pneumonia)
» Influenza (selesema)
» Faringitis (radang tekak)
» Penyakit paru-paru kronik (COPD)