Pelajar cemerlang tak sempat kongsi kejayaan dengan ibu

Pelajar cemerlang tak sempat kongsi kejayaan dengan ibu

SALMAH Aminudin menyiram air mawar pada pusara arwah ibunya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al Muhtadin, Kampung Budi , Pokok Sena, Kedah. - UTUSAN/MOHD RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Hasrat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mengalami masalah kewangan seperti dilaporkan akhbar ini untuk bertemu dan berkongsi kejayaan bersama ibunya, tidak kesampaian selepas wanita itu meninggal dunia, kelmarin.

Salmah Aminudin, 20, berkata, ibunya, Romlah Tasu, 56, yang tinggal di sebuah pusat jagaan di Kamunting, Perak menghubunginya Isnin lalu dan memaklumkan sangat merindui serta mahu memeluknya.

Katanya, dia cuba menghubungi ibunya semula untuk memaklumkan akan melanjutkan pelajaran ke universiti selepas mendapat pelbagai tawaran serta biasiswa.

“Tetapi hasrat saya tidak tercapai apabila dimaklumkan ibu meninggal dunia kerana sakit asma. Saya sangat terkejut kerana tidak dapat berjumpa serta memeluknya apatah lagi bagi meraikan kejayaan peperiksaan.

“Walaupun pada mulanya saya tidak mahu melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan tetapi dengan pelbagai bantuan yang ditawarkan, kini saya mahu teruskan tetapi sedih tidak dapat raikannya bersama ibu,” katanya ketika ditemui di Kampung Budi, semalam.

Khamis minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan kejayaan Salmah dan seorang lagi pelajar, Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman yang hidup dalam kesusahan namun masih mampu meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM.

Bagaimanapun, hasrat mereka menyambung pelajaran terbantut seketika selepas berdepan masalah kewangan sebelum pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk tawaran tempat dan biasiswa daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut Salmah, walaupun ibunya berada jauh sejak lima tahun lalu kerana masalah penyakit dihadapinya tetapi tidak pernah melunturkan semangat untuk berjaya.

“Saya mahu tunjuk sijil kejayaan itu kepada ibu tetapi Allah SWT lebih menyayanginya. Memang saya terkilan kerana tidak dapat raikan bersama ibu tetapi saya reda dengan kehendak Allah.

“Lebih terharu ibu saya ingin memeluk saya seolah-olah dia sudah terasa untuk pergi selama-lamanya. Kini saya hanya ada nenek , Aishah Saad, 84, tempat saya mengadu segala-galanya selepas kehilangan ibu tersayang,” ujarnya.

Salmah berharap kematian ibunya itu tidak mematahkan semangatnya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selepas pelbagai tawaran yang diterimanya daripada institusi pengajian tinggi awam.

“Saya percaya dengan pelajaran ini diharap dapat ubah nasib saya pada masa akan datang. Malah kemiskinan yang dihadapi dapat menjadikan saya lebih dewasa bagi menempuh dugaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya