Pelajar 16 tahun mati lemas di air terjun Batu Berangkai

Pelajar 16 tahun mati lemas di air terjun Batu Berangkai

ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa lemas di air terjun Batu Berangkai, Kampar, Perak,  hari ini. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kegembiraan seorang remaja lelaki berkelah bersama dua rakan dan bekas gurunya di air terjun Batu Berangkai dekat sini hari ini, berakhir tragedi apabila dia ditemukan mati lemas.

Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi itu, mangsa, Luqman Hakim Ismail Sukri, 16, ditemukan di kawasan lubuk dan dibawa keluar penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa bersama bekas guru dan dua rakannya bergerak dari Kampung Gajah ke kawasan perkelahan berkenaan untuk mandi.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa terus mandi dan berenang ke kawasan dalam manakala bekas guru dan rakannya pula mengangkat barang.

“Mangsa tiba-tiba tenggelam di tengah air terjun dan hilang. Bekas gurunya itu cuba memanggil remaja terbabit namun tiada jawapan. Dua rakan mangsa cuba berenang mencari lelaki itu namun gagal membawanya keluar dari kawasan air yang dalam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bekas guru mangsa terus meminta bantuan orang kampung dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan kejadian. 

“Mayat mangsa bdibawa keluar oleh orang kampung dan pasukan bomba yang tiba cuba memberi bantuan pernafasan namun mangsa disahkan meninggal dunia. Hasil pemeriksaan pada badan mangsa tidak terdapat kesan berlaku jenayah kekerasan dan simati dipercayai mati akibat lemas,” katanya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati lokasi itu merupakan kawasan rehat dan rekreasi awam namun berisiko dan kerap berlaku kematian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya