Pegawai bank sahkan deposit cek pembelian kereta

Pegawai bank sahkan deposit cek pembelian kereta

SHAHRIR Ab. Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes atas tuduhan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, cek berjumlah RM118,485 telah didepositkan ke dalam akaun Public Bank atas nama sebuah syarikat kereta, Sutera Auto Sdn Bhd.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Seah Yeow Hwee, 59, berkata, wang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank pada 27 Disember 2013 berdasarkan salinan penyata bank.

Pada prosiding sebelum ini, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd, Rozana Khalid memberitahu, Tan Sri Shahrir Ab. Samad membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

Dalam pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan akan membuktikan bekas pengerusi Felda itu terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wang RM1 juta itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui cek bertarikh 27 November 2013.

Yeow Hwee yang juga Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Berhad Cawangan Taman Sentosa, Johor Bahru berkata, cek didepositkan ke dalam akaun bank berdasarkan cop pada bahagian belakang cek.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru atas pertuduhan gagal mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wang RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, Yeow Hwee yang telah berkhidmat di Public Bank Berhad selama 38 tahun, bersetuju dengan peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir bahawa transaksi RM118,485 berlaku tanpa sebarang masalah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali kemudian meminta saksi itu menjelaskan apa yang dimaksudkannya tentang tiada masalah dengan transaksi tersebut.

“Sebagai pegawai bank kita kena tahu nilai produk. Syarikat ini (Sutera Auto) adalah syarikat kereta, sebagai pegawai bank kita kena tahu harga kereta, walaupun kita bukan profesional.

“Kalau nilai kereta lebih RM100,000 sebuah, ia munasabah, kalau alih-alih harganya lebih tinggi, kami akan minta dokumen,” ujarnya.

Pada prosiding itu, seorang lagi peguam yang mewakili Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros memohon pihak pendakwaan menyediakan pernyataan saksi-saksi yang bakal dipanggil dan diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan.

“Kami juga mohon agar lebih ramai saksi dapat dipanggil (pada hari perbicaraan) supaya proses (perbicaraan) dapat disegerakan,” katanya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian berkata pihak pendakwaan perlu mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

Mohd ‘Afif bangun dan berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan memanggil enam lagi saksi untuk memberi keterangan yang mana tiga daripadanya adalah saksi penting.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Perbuatan itu bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 3 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya