PETALING JAYA: Cubaan sepasang tunang melarikan diri daripada ditahan polis dengan memecut kenderaan sejauh kira-kira 10 kilometer gagal apabila mereka berjaya ditahan, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4 petang itu, pasangan berusia 38 dan 41 tahun terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah hotel di Jalan Persiaran Surian, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota polis dari Balai Polis Damansara yang menjalankan rondaan cegah jenayah menghampiri kereta Proton Waja dinaiki kedua-dua suspek untuk menjalankan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut keluar dari Jalan Persiaran Surian ke arah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dengan melanggar lampu isyarat merah.
“Suspek turut merempuh beberapa kenderaan lain memaksa pasukan polis mengejar kereta terbabit sehingga ke pusingan U berhampiran Balai Polis Damansara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian cuba keluar daripada kenderaan untuk melarikan diri namun berjaya ditahan anggota polis.
Jelasnya, hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik berisi dadah jenis syabu anggaran berat 1.30 gram bernilai RM130 dalam kenderaan itu.
“Saringan ujian awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah methamphetamine.
“Suspek direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










