Pas-UMNO: ‘Ada cahaya di hujung terowong’ - Tuan Ibrahim

Pas-UMNO: ‘Ada cahaya di hujung terowong’ – Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pas tetap bersedia menjadi lawan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya perbincangan membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu tetap gagal mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya ketika ini yakin masih terdapat ‘cahaya di hujung terowong’ untuk kerjasama kedua-dua parti itu kelak.

“Kita akan teruskan perbincangan mencari jalan terbaik dan kalau dia (UMNO) lawan kita, kita lawan dengan dia. (Namun) kita lebih suka untuk mencari jalan ke arah kebaikan bagi kesatuan ummah. 

“Tapi UMNO duk (asyik) isytihar hendak lawan solo kita tengoklah macam mana. Saya tengok dalam ‘mangkuk air’ ini belum nampak lagi, tapi mungkin InsyaAllah ada cahaya di hujung terowong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu bertemu Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menuntut penjelasan berkenaan dakwaan berjumpa Presiden UMNO untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN), Tuan Ibrahim berkata, perkara itu akan dilaporkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN seperti kelaziman yang dilakukan.

Katanya, perbincangan mengenai kerjasama bersama pimpinan UMNO itu tidak akan menjejaskan hubungan dalam parti komponen PN berikutan gabungan itu dan MN masih merupakan kerajaan yang berjalan baik.

Malah, ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama PN yang perlu dilawan pada PRU15, Tuan Ibrahim menegaskan parti Melayu harus mengelak pertembungan pelbagai penjuru pada PRU15. 

“Ini kerana kita mahu mengelak menang jadi arang, kalah jadi abu kerana politik bukan sekadar bertanding dalam pilihan raya semata-mata tetapi yang lebih penting adalah strategi untuk menang. 

“Buktinya kerjasama baik dalam politik adalah contoh dalam kerajaan Pusat dan negeri Kedah yang membabitkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dapat bekerjasama dan bekerja dengan baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN