Pas masih terbuka suburkan MN di Terengganu

Pas masih terbuka suburkan MN di Terengganu

HANAFIAH MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Langkah kerajaan negeri menyalurkan peruntukan bantuan am sebanyak RM250,000 setiap bulan kepada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO membuktikan Pas masih bersikap terbuka untuk menyuburkan jalinan Muafakat Nasional (MN) di Terengganu.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT), Hanafiah Mat berkata, setakat ini, semua bantuan am itu disalurkan tepat pada masanya kepada 10 ADUN UMNO terlibat agar mereka dapat menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing dengan peruntukan yang diberi.

Menurutnya, ia adalah komitmen Pas Terengganu untuk mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera seperti yang dijanjikan sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negeri daripada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Negeri lain dah potong belaka peruntukan ini, tak bagi lagi kepada wakil rakyat PAS seperti mana yang dilakukan pada awal-awal dulu.

“Namun, Pas Terengganu mengambil keputusan untuk meneruskannya demi rakyat pelbagai kaum, agama tanpa mengira fahaman politik, itu keutamaan kita,” katanya di sini, semalam.

Baru-baru ini, seorang wakil rakyat Pas Pahang mendedahkan semua wakil rakyat parti itu tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri yang ditadbir UMNO – Barisan Nasional (BN) sejak Januari lalu.

Peruntukan RM20,000 yang mula disalurkan kepada wakil rakyat Pas negeri Pahang sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Mac 2020, ditamatkan tanpa sebarang notis dan ia dipercayai ada kaitan dengan hubungan MN yang semakin dingin akibat beberapa isu.

Sehubungan itu, Hanafiah berkata, beliah meminta rakyat Terengganu membuat penilaian sendiri sejauh mana ketelusan dan kejujuran Pas untuk memastikan semua rakyat mendapat perhatian dan pembelaan sepatutnya walaupun berada di kawasan yang diwakili ADUN UMNO.

Dalam perkembangan lain, Hanafiah berkata, Pas Terengganu yakin dapat mempertahankan kemenangannya di kesemua 22 DUN dan enam Parlimen pada PRU-15 tidak lama lagi.

Menurutnya, keyakinan itu adalah bersandarkan penerimaan positif rakyat dari pelbagai peringkat yang berpuas hati dengan kecekapan dan ketelusan tadbir urus yang dilakukan Pas ketika ini.

“Seluruh rakyat yang kita jumpa menyatakan bahawa mereka akan terus memberi kepercayaan (memberi undi) kepada Pas untuk memerintah Terengganu penggal depan.

“Rakyat mahu sambung kerana sangat berpuas hati dengan apa yang Pas lakukan sejak mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 tahun 2018 yang lalu,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya