Pas `main wayang' kerjasama dengan UMNO - Utusan Malaysia

Pas `main wayang’ kerjasama dengan UMNO

UMNO dilihat boleh menang tanpa Pas. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persetujuan Pas menyokong pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri jika perikatan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan parti tersebut hanya bermain ‘wayang’ kononnya masih mahu menyelamatkan hubungan bersama UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Pas selama ini memberi harapan untuk meneruskan Muafakat Nasional (MN) tetapi dalam masa sama berdamping rapat dengan Bersatu yang merupakan musuh UMNO.

“Muktamar Pas di Kedah baru-baru ini meluluskan usul untuk terus bekerjasama dengan UMNO.

“Namun di sisi Pas, ada teman (Bersatu) yang di tangannya tersembunyi pisau yang telah menikam kami (UMNO) berkali-kali.

“Bagaimana kami mahu mempercayai Pas sedangkan mereka difahamkan bersetuju memilih Muhyiddin dan bukannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

“Sebab itu, saya katakan Pas tidak serius mahu bersama UMNO dan ia dibuktikan ketika Pas menentang Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Baru-baru ini, Presiden Gerakan, Datuk Dr.Dominic Lau Hoe Chai mengumumkan Muhyiddin bakal dilantik sebagai PM sekiranya dapat memenangi PRU15 akan datang dalam Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Pas juga sangat mengelirukan kerana Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari pernah mengajak penyokong Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN di Pahang.

“Dua minggu selepas itu, pemimpin yang sama keluarkan kenyataan mahu berunding dengan UMNO demi menyelamatkan negara daripada PH.

“Kenyataan yang tidak konsisten ini sangat melucukan, mengelirukan dan menggilakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN