UMNO hanya minta PRU15 diadakan sebelum banjir - Utusan Malaysia

UMNO hanya minta PRU15 diadakan sebelum banjir

REEZAL Merican Naina Merican (tengah) bergambar dengan pemilik kediaman The Mulia Residences selepas menyerahkan kunci di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: “Parti saya tak minta pun nak buat (Pilihan Raya Umum Ke-15) waktu banjir, malah parti saya yang banyak bantu rakyat ketika banjir”.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menegaskan UMNO juga tidak pernah memutuskan untuk mengadakan PRU15 ketika musim tengkujuh atau musim banjir.

“Saya nak ulangi, bila masa kita nak buat PRU waktu banjir waima UMNO berpandangan nak buat PRU sebelum bermulanya musim banjir, saya nak tanya kita tahu tak bila banjir?

“Sebab itu saya kata dari awal oleh kerana kita tak tahu bila banjir, kita dalam keadaan berjaga-jaga bagi kedua-dua situasi kerana andaian selalu diberi bahawa UMNO nak buat PRU waktu banjir,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai petisyen dalam talian yang dilancarkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi mengumpulkan bantahan orang ramai terhadap usaha mengadakan PRU15 dalam musim banjir.

Terdahulu, Reezal menyaksikan majlis penyerahan kunci secara simbolik kepada 10 pemilik pertama fasa satu The Mulia Residences (TMR) oleh Kumpulan Emkay di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, beliau ada membaca kenyataan yang dibuat Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya PRU15 dibuat sebelum datangnya musim banjir, namun ia hanya andaian daripada Ketua Pemuda UMNO tersebut.

Ini kerana katanya, ketetapan mengenai PRU15 pada akhirnya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya dengar yang disebut Dr. Asyraf beliau kata buatlah PRU15 sebelum datang waktu banjir dan pada andaian dia, mengikut telahan dan juga laporan beliau peroleh ada tempoh-tempoh yang boleh dibuat sebelum banjir, yang paling penting ialah pada akhirnya ketetapan yang perlu adalah perkenan Seri Paduka.

“Tapi soal adakan PRU waktu banjir semua takkan setuju, parti saya pun tak setuju kerana parti saya akan letakkan kepentingan rakyat jauh lebih dari soal PRU kerana nasib dan nyawa rakyat lebih penting,” jelasnya.

Reezal berkata, apa yang penting perjalanan PRU15 tidak dilakukan dalam tempoh berlakunya bencana ataupun keadaan yang boleh meletakkan rakyat dalam situasi berisiko.

“Itu juga pegangan oleh parti saya UMNO dan BN (Barisan Nasional), itu saya tekankan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai mesyuarat MKT UMNO yang akan diadakan pada Jumaat ini, Reezal berkata, beliau tidak mengetahui dengan lebih lanjut mengenai intipati yang bakal dibincangkan dengan memaklumkan ia hanya mesyuarat biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.