Omar dan Salmah sambung pengajian di UUM, USM

Omar, Salmah dapat PNGK 4.0 tapi tercicir kini sambung pengajian di UUM, USM

OMAR Mokhtar Abd. Rahman, Salmah Aminudin (tengah) dan Norasyikin Azizan menunjukkan surat tawaran melalui telefon pintar bagi melanjutkan pengajian ke universiti tempatan di Pokok Sena, Kedah, semalam. -UTUSAN/ MOHD RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Hasrat dua pelajar miskin yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti awam akhirnya tercapai selepas mereka ditawarkan tempat di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Omar Mokhtar Abd. Rahman, 20, dari Kampung Kuala Lanjut berkata, selepas beberapa rakannya dimaklumkan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, dia turut membuat semakan.

“Pada awalnya saya bimbang tidak dapat tawaran seperti yang dialami masa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu. Tetapi selepas memeriksanya saya dapati berjaya mendapat tawaran ke UUM bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia.

“Alhamdulillah, hasrat saya sekian lama untuk melangkah ke menara gading akhirnya tercapai apatah lagi turut mendapat biasiswa daripada universiti itu. Saya pilih UUM kerana dekat dengan keluarga dan mudah untuk berulang alik melawat keluarga,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pada 1 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Omar Mokhtar dan seorang lagi pelajar cemerlang, Salmah Aminudin, 20, menyuarakan kebimbangan tidak dapat menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ekoran masalah kewangan.

Kedua-dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang itu mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu.

Sementara itu, Salmah pula menganggap kejayaannya berjaya melanjutkan pelajaran ke USM adalah hadiah kepada arwah ibunya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Katanya, dia amat gembira selepas ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah dan Geografi di universiti berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bertambah semangat meneruskan pengajian di universiti kerana turut mnendapat tawaran biasiswa daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang membiayai sehingga akhir pengajian.

“Tanpa biasiswa sudah pasti saya tidak mampu meneruskan pengajian kerana kehidupan saya hari ini pun hanya bergantung bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja, “ katanya.

Menurut Salmah, dia terharu kerana tawaran itu seperti doanya turut dimakbulkan oleh Allah SWT kerana mahu menjadi seorang pendidik selepas tamat pengajian nanti.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pelajar SMK Kubur Panjang yang turut meraih PNGK 4.00, Norasyikin Azizan, 20, dari Kampung Sungai Mas akan melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya gembira kerana cita-cita sejak kecil lagi untuk menjadi pendidik akan tercapai juga suatu hari nanti. Kejayaan saya ini sebagai pembakar semangat kepada adik-adik yang masih belajar bahawa kemiskinan itu tidak akan menghalang mereka untuk berjaya,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya