NGO jual gelaran doktor kehormat palsu serendah RM480

MUDA dedah NGO jual gelaran doktor kehormat palsu serendah RM480

PENGARAH Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pengajian Tinggi (KPT), Hirman Awang (kanan) menerima penyerahan memorandum daripada R Siva Prakash menggesa Menteri Pengajian Tinggi mengambil tindakan terhadap pihak NGO yang menganugerahkan Ijazah palsu di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipercayai menjual gelaran doktor kehormat kepada individu yang berminat dengan kos serendah RM480 sehingga RM8,000.

Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Selangor, Dr. R Siva Prakash berkata, pihaknya mengesan ramai yang menjadi mangsa, termasuk pempengaruh media sosial yang mahukan gelaran yang mampu memberi mereka penghormatan dalam masyarakat.

Katanya, sekiranya aktiviti haram ini tidak ditangani segera, ia boleh menjejaskan imej sistem pendidikan negara sekali gus mencabar undang-undang negara.

“Siasatan dilakukan mengesan, NGO itu menawarkan gelaran doktor kehormat kepada individu tertentu dengan bayaran yang ditetapkan bermula RM480 hingga RM8,000.

“Sekiranya bayaran mencecah RM8,000, seseorang itu akan diraikan dalam majlis penganugerahan yang diadakan di hotel. Malah kegiatan ini, turut melibatkan ejen dengan komisyen lumayan,” katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk tindakan lanjut dapat diambil terhadap kegiatan NGO berkenaan.

Siva Prakash berkata, isu ini perlu tindakan segera kerana ia akan memberi mesej yang salah kepada generasi masa depan. 

Sebagai contoh katanya, akan wujud persepsi semua orang boleh membeli gelaran doktor kehormat dengan bayaran tertentu.

“Ia juga boleh merendahkan kredibiliti sistem pendidikan negara ini di mata orang luar dan menggalakkan salah tanggapan. 

“Tindakan konkrit perlu dilakukan kerana sebelum ini sudah beberapa kali, saya menghantar surat kepada KPT dan mendedahkan bukti serta perincian berhubung tindakan NGO memberikan gelaran doktor kehormat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN