fbpx

Nasib mangsa kebakaran Kampung Cina terbela

HANAFIAH Mat menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu, hari ini. - FOTO/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOF

KUALA TERENGGANU: Nasib mangsa kebakaran rumah kedai di Kampung Cina di sini, semalam, terus terbela apabila seramai 11 mangsa terlibat diberikan bantuan awal sebanyak RM1,000 setiap seorang, hari ini.

Selain itu, mereka juga akan ditempatkan di Pasar Kedai Payang dalam masa terdekat bagi meneruskan perniagaan secara sementara untuk menggerakkan ekonomi masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu diharap dapat membantu mangsa menghadapi bencana terbabit.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga diminta membuat laporan terperinci mengenai bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa-mangsa ini.

“Mereka boleh diberikan rumah rakyat (PPRT) bernilai RM60,000 tapi perlu didirikan di atas tanah sendiri atau pilihan kedua, wang tunai RM25,000 untuk bina semula premis mereka.

“Tapak kebakaran ini bercampur tanah persendirian dan tanah kerajaan. Jadi kita akan lihat laporan forensik untuk bantuan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Hanafiah, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk membolehkan mangsa berniaga buat sementara dalam masa terdekat.

Dalam kejadian 8.42 malam semalam, deretan rumah kedai di perkampungan warisan itu hangus dijilat api melibatkan premis kedai emas, restoran, kedai kain, kedai gunting rambut dan kedai membaiki kunci. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN