Nama Tajuddin tiada dalam senarai duta baharu

Nama Tajuddin tiada dalam senarai duta baharu

SAIFUDDIN Abdullah bersama menunjukkan buku Himpunan Genta Rasa tulisan Jufitri Joha di Wisma Putra, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Teka-teki mengenai status Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar baharu ke Indonesia terjawab apabila namanya langsung tidak pun digambarkan.

Bayangan tersebut disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah apabila mengesahkan kesemua 24 ketua perwakilan baharu hanya melibatkan pegawai diplomat.

Bercakap dalam sidang akhbar di Wisma Putra di sini hari ini, beliau dengan wajah tersenyum turut mengakui bahawa tiada calon dalam kalangan tokoh politik tertentu yang dinamakan.

“Senarai calon Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar baharu itu termasuk ke Indonesia dengan kesemua mereka hanya melibatkan dari kalangan pegawai diplomat kita sendiri,” katanya selepas melancarkan buku Himpunan Genta Rasa tulisan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha yang turut dihadiri penggantinya, Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid.

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia mengalami kekosongan sejak Datuk Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 21 Mac 2019 kemudian dilapor bersara wajib pada 4 April 2021

Kontroversi tercetus apabila Tajuddin disebut sebagai pengganti kerana pernah menyertai lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu pada tahun lalu.

Bagaimanapun, nama beliau tidak disebut dalam senarai empat penerima watikah pelantikan rasmi duta baharu daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 12 Julai lepas.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa kononnya pelantikan beliau ditunda meskipun ada sumber mengesahkan namanya memang digugur kerana beberapa kenyataan kontroversi.

Kedudukan Indonesia amat penting malahan canseri negara ini di Jakarta adalah kedutaan terbesar daripada semua pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di seluruh dunia ketika ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kesemua 24 nama calon itu sudah melalui tapisan akhir di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan hanya menunggu masa untuk kelulusan rasmi.

“Setelah itu, nama mereka akan dihantar pula kepada negara terbabit untuk pertimbangan muktamad dan setelah lulus, baru disahkan untuk menerima watikah pelantikan,” katanya.

Beliau namun mengesahkan senarai berkenaan tidak melibatkan duta baharu ke Amerika Syarikat yang masih belum ada calon bagi menggantikan tempat Datuk Azmil Mohd. Zabidi.

Malaysia memiliki sejumlah 107 misi perwakilan di 85 negara yang meliputi 66 kedutaan, 18 suruhanjaya tinggi, dua wakil tetap ke Pertubuhan Bangsa Bersatu dan satu wakil ke ASEAN.

Pejabat diplomatik Malaysia juga melibatkan sebanyak 21 konsulat jeneral, dua konsulat serta baki satu untuk misi perwakilan pusat perdagangan dan persahabatan negara ini di Taiwan.

Ini bermakna cuma tinggal dua negara itu yang belum ada duta baharu tetapi Saifuddin yakin kekosongan tersebut akan segera diisi setelah calon terbaik dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya