PETALING JAYA: Jabatan Penjara mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di Hospital Rehabilitasi Cheras untuk menjalani rawatan lanjutan.
Katanya, bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaannya yang tidak memuaskan.
“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Najib ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.
“Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan, Jabatan Penjara juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.
“Ini termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” katanya.
Semalam, beberapa pihak mendesak kerajaan supaya menjelaskan mengenai dakwaan layanan istimewa diberikan kepada Najib yang dirujuk dengan nama kod Merpati dalam media sosial baru-baru ini.
Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa bekas Perdana Menteri itu ke (HRC) bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).
Ekoran tular dakwaan itu, rata-rata netizen menggesa Jabatan Penjara supaya bersikap telus dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara melibatkan dakwaan tersebut. – UTUSAN