KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) disaran supaya menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak terlalu mendadak sehingga melebihi 25 mata asas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dr. Zokhri Idris berkata, kenaikan itu juga diharap dilakukan secara berperingkat supaya tidak memberi kesan besar khususnya kepada peminjam bank.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan OPR yang berlaku sekarang tidak perlu dibimbangi kerana negara sebelum ini sudah pernah mengalami tahap kenaikan OPR lebih tinggi melebihi 2.50 peratus.
“Sekarang pun OPR sudah naik sebanyak tiga kali, jadi, mungkin lebih baik jika ia hanya dinaikkan sebanyak 25 mata asas secara berperingkat jadi tidaklah golongan peminjam tidak berasa terbeban berbanding kenaikan OPR yang mendadak.
“Kenaikan ‘berperingkat’ ini pula bergantung kepada di mana kedudukan yang selesa untuk OPR ini berfungsi secara efektif atau pada kadar berapa ekonomi Malaysia ini berada?,” katanya ketika dihubungi semalam.
8 September lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, menyaksikan kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini.
Semakan Utusan Malaysia mengenai keputusan OPR tertinggi di laman rasmi BNM bermula 26 April 2006 sebanyak 3.50 dan berterusan sehingga 24 Oktober 2008.
OPR mewakili kadar faedah minimum dikenakan dalam kalangan bank bagi pinjaman antara bank yang ditetapkan oleh BNM bertujuan mengawal bekalan wang dan mempengaruhi hala tuju ekonomi negara.
Kadar faedah kepada pinjaman orang awam akan terkesan sama apabila kadar faedah pinjaman wang antara bank terkesan kerana bank mengalihkan kos pinjaman lebih tinggi kepada pengguna menerusi kenaikan kadar faedah.
Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan kenaikan OPR memberi kesan kepada peminjam sehingga terpaksa membayar komitmen bulanan lebih banyak, namun, ia boleh diatasi dengan mengurus semula tatacara kewangan peminjam.
“Daripada berasa bimbang dengan kenaikan ini, saya rasa peminjam boleh meneliti semula perbelanjaan harian secara berhemah, pada masa OPR naik, you still can survive (anda masih boleh hidup),” katanya. –UTUSAN
Keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR)
Tarikh Perubahan dalam OPR (%) Tahap OPR baharu (%)
8 September 2022 +0.25 2.50
6 Julai 2022 +0.25 2.25
11 Mei 2022 +0.25 2.00
3 Mac 2022 0 1.75
20 Januari 2022 0 1.75
OPR tertinggi: 3.50 % [26 April 2006 – 24 Oktober 2008]
OPR terendah: 1.75 % [7 Julai 2020 – 3 Mac 2022]
Sumber: Bank Negara Malaysia










