Durian Musang King dapat tumpuan ramai di Belanda

Musang King dapat tumpuan ramai di Belanda

NADZIRAH Osman (kiri) dan Muhamed Salim Mohd. Ali (tengah) menunjukkan produk durian Musang King sejuk beku di Belanda baru-baru ini. - Foto ihsan MAFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Warga Belanda dilapor tidak melepaskan peluang membeli durian Musang King ketika program Malaysia Food and Fruits Experience di The Hague, Belanda baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di sini, acara berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman.

“Program ini bertujuan mempromosikan kulinari, produk agro makanan dan buah-buahan tropika Malaysia termasuk manggis, nangka dan durian kepada penduduk Belanda,” katanya.

Pengunjung juga didedahkan kepada nasi lemak serta rendang ayam yang turut dihadiri ramai pemain industri di samping juga pengulas makanan dan penulis blog berkaitan isu masakan.

Ia mendapat kerjasama Kedutaan Besar Malaysia, Tourism Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Acara diadakan di Westfield Mall itu turut dibantu Wah Nam Hong yang merupakan rangkaian pasar raya Asia terawal di Belanda dengan ada lima cawangan di negara tersebut.

Berdasarkan tinjauan oleh Kaunselor Pertanian di Pejabat Perwakilan Pertanian The Hague, Muhamed Salim Mohd. Ali, penerimaan durian Musang King sejuk beku adalah amat baik..

Keadaan tersebut ujarnya, disebabkan aroma ‘Raja Buah’ itu tidak begitu kuat berbanding buah dalam bentuk segar dan dapat diterima oleh sebahagian besar masyarakat tempatan.

“Ramai yang cuba buat kali pertama begitu teruja kerana sebelum ini mereka tidak begitu berani disebabkan mungkin pengalaman terdahulu menghidu bau kuat durian,” jelas beliau.

Bahkan ujarnya, terdapat pengunjung yang tertarik kerana sudah pun ada banyak informasi mengenai perihal Musang King menerusi hasil carian dalam internet dan juga media sosial.

Buat masa ini katanya, durian klon itu dari jenis sejuk beku telah boleh didapati di semua pasar raya Asia seperti Amazing Oriental yang mempunyai 23 cawangan di seluruh Belanda.

Pada masa sama, beliau optimis terdapat potensi besar bagi buah manggis belimbing dan nangka sejuk beku dengan pematuhan terhadap isu kualiti, pembungkusan dan pelabelan.

Produk buah dari luar negara kata Muhamed Salim, juga perlu ada pensijilan kelestarian paras sisa maksimum yang agak ketat bagi memenuhi kehendak pasaran luas Eropah.

Dari segi data perdagangan, nilai eksport produk pertanian Malaysia ke Eropah telah naik sebanyak 33 peratus daripada RM10.4 bilion pada 2020 kepada RM13.8 bilion tahun lepas.

“Kita juga bekerjasama dengan beberapa firma bagi memastikan produk agro makanan dari Malaysia dapat dieksport secara pukal serta kurang kos logistik dan penyelarasan,” tambahnya.

Pihak pasar raya di Belanda turut aktif mengimport buah-buahan tropika Malaysia kerana usaha promosi yang dilakukan telah pun melonjakkan permintaan jualan sehingga 50 peratus.-

Pejabat Perwakilan Pertanian di The Hague merupakan premis serantau meliputi pasaran Britain, Rusia, 27 negara Kesatuan Eropah dan empat negara Perdagangan Bebas Eropah.

Fungsinya ialah bagi memperluaskan akses pasaran selain khidmat nasihat, keperluan import dan eksport serta mempertingkatkan kerjasama pelaburan dalam aspek teknologi pertanian.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya