Mungkin hadiah terakhir saya buat Parlimen Rembau - Khairy

Mungkin hadiah terakhir saya buat Parlimen Rembau – Khairy

KHAIRY Jamaluddin bertemu pesakit yang menerima rawatan pada Majlis Perasmian Hospital Rembau di Rembau, Negeri Sembilan, hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: “Mungkin hadiah terakhir saya buat Parlimen Rembau,” demikian seloroh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika berucap pada Majlis Perasmian Hospital Rembau di sini, hari ini

Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan, Hospital Rembau yang hanya berstatuskan hospital daerah sebelum ini akan dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor.

Menurut beliau, langkah itu adalah mengambil kira kesesakan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban yang menerima pesakit terlalu ramai.

“Dengan naik taraf ini, penduduk akan menerima rawatan kepakaran di sini, memendekkan tempoh masa pesakit untuk menerima rawatan pakar. 

“Sejajar dengan itu, Kementerian Kesihatan akan melengkapkan dewan bedah kedua di hospital ini dengan peralatan baharu melibatkan anggaran kos RM9 juta.

“Satu unit mesin CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) akan diberikan kepada Hospital Rembau. Penempatan pakar pula akan dilaksanakan secara berfasa dalam bidang radiologi, pembedahan, ortopedik, anestesiologi, pediatrik, obstetrik dan ginekologi,” katanya lagi dalam majlis tersebut.

Sebagai rekod, majlis peletakan batu asas Hospital Rembau telah dilakukan pada 4 Mac 2008 dan proses pembinaannya telah melalui pelbagai cabaran.

Projek membina dan menyiapkan hospital ini dengan keluasan tanah lebih enam hektar itu membabitkan kos projek keseluruhan sebanyak RM147 juta.

Pembinaannya, telah dimulakan pada 9 September 2013 dan siap sepenuhnya pada 10 Oktober 2019, melibatkan perolehan peralatan sebanyak RM22.4 juta.

Ia memulakan operasi dengan memberikan perkhidmatan bagi pesakit luar dengan perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Trauma pada 22 Januari 2020 dan perkhidmatan pesakit dalam pada Februari 2020.

Dalam pada itu, Khairy menambah, Hospital Rembau juga akan menjadi antara hospital di bawah kementerian kesihatan yang terawal mempunyai kemudahan jalur lebar tanpa wayar (Wifi).

“Saya juga telah bersetuju dengan Ketua Setiausaha Kementerian, secara berperingkat semua hospital awam di Malaysia akan dilengkapkan dengan Wifi percuma untuk kegunaan pelanggan, pesakit dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu juga, beliau memberitahu, pihak kementerian kini mengenal pasti sebanyak 13 projek sakit di seluruh negara yang meliputi pelbagai jenis fasiliti di bawah kementerian berkenaan.

Projek sakit berkenaan menurutnya, terdapat di pelbagai negeri membabitkan fasiliti seperti hospital, kuarters dan klinik kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.