Muktamar Pas: Utamakan strategi nasional, bukan kenegerian

Muktamar Pas: Utamakan strategi nasional, bukan bersifat kenegerian – Hadi Awang

ABDUL Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas pada pemilihan hujung bulan ini selepas lima jawatan utama parti tidak dipertandingkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan pimpinan dan ahli-ahli parti itu di semua peringkat untuk mengutamakan agenda atau strategi yang bersifat nasional berbanding kenegerian.

Abdul Hadi berkata, negeri-negeri tidak boleh membuat ‘kepala sendiri’ kerana perkara itu melambatkan kemenangan lebih besar kepada Pas yang ketika ini disifatkan hanya ‘berkuasa sedikit dalam kerajaan’.

Katanya, strategi bersifat jama’i atau bersifat nasional itu hendaklah dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya.

“Jangan masing-masing buat kepala sendiri dan (urusan) negeri sendiri kerana lambat nak menang. Ada negeri nak minta autonomi, nak buat kerja sendiri, nak hadapi pilihan raya. Saya nak ingatkan ini sangat penting.

“Pas bawa penyelesaian politik dalam negara kita yang bersifat nasional, bukan kenegerian kerana kita Parti Islam Se-Malaysia, bukan parti Islam Se-Perlis, bukan parti Islam Se-Kelantan, bukan parti Islam Se-Terengganu atau bukan parti Islam Se-Baling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penutup Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, di sini.

Dalam pada itu, beliau meminta parti agar mengambil pendekatan untuk mengecilkan lawan serta tidak meramaikan musuh termasuk dalam kalangan bukan Islam demi mencapai kemenangan.

Abdul Hadi berkata, Pas perlu mencari parti-parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh bergabung dengan mereka serta tidak berkelahi seperti yang diajar oleh Nabi dan ajaran al-Quran.

“Politik nasional (perlu) ada sikap yang tidak boleh meramaikan musuh atau mengehadkan jumlah musuh yang (menjadi) sedikit, jangan cari musuh ramai. Jangan cari yang banyak berkelahi dengan kita.

“Akhir-akhir ini kita berjaya menembusi masyarakat, sebab itu ahli kita bertambah dan kita mahu lebih lagi, kita berjaya menembusi benteng pemisah dengan bukan Islam, kejayaan wujud Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) kalangan bukan Islam memecah tembok kejayaan besar cuma peranan DHPP mesti masuk dalam masyarakat bukan Islam,” katanya.

Katanya, jika parti seperti DAP boleh melantik orang India sebagai wakil rakyat di kawasan majoriti Cina, mengapa Pas tidak boleh melakukan perkara yang sama agar mendapat sokongan mereka. 

“Banyak orang India jadi wakil rakyat DAP, orang Cina boleh pilih dia dan mengapa tak boleh pilih Melayu. Ini kelemahan yang perlu kita baiki supaya dapat menembusi benteng-benteng yang memisahkan dengan orang bukan Islam. Kalau ikut perancangan dibuat iaitu secara jemaah, kolektif atau jama’i kita dapat capai kemenangan dengan pertolongan Allah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN