MT UMNO sepakat PRU15 tahun ini - Utusan Malaysia

MT UMNO sepakat PRU15 tahun ini

AHMAD Maslan bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ini kerana perkara itu selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperoleh, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MT di Menara Dato Onn, di sini.

Jelas Ahmad, mesyuarat malam ini juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Katanya, mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ untuk segera didedahkan kepada umum.

“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Mei lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, mesyuarat MT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pertemuan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya