Minta tolong dalam keadaan berlumuran darah

Mangsa bom ikan minta tolong dalam keadaan berlumuran darah

KEADAAN salah seorang mangsa yang dipercayai terkena bom ikan di Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: “Saya terkejut melihat lelaki itu meminta tolong dalam keadaan dada berdarah kemungkinan terkena serpihan letupan.”

Demikian kata pengunjung Hutan Lipur Lata Kekabu di sini yang mahu dikenali sebagai Amirul, 26, berhubung kejadian letupan bom ikan yang meragut nyawa seorang lelaki, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa, Amirudin Khairudin, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 40 tahun cedera parah.

Menurut Amirul, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menyalin pakaian sebelum melihat seorang lelaki berlari ke arahnya dalam keadaan cemas sambil meminta pertolongan.

“Lelaki itu beritahu ada orang kena bom dan minta saya hubungi ambulans. Saya sendiri panik ketika itu apatah lagi apabila melihat bahagian dada lelaki itu berdarah. Saya tidak berani ke lokasi kejadian letupan kerana lelaki terbabit beritahu mangsa lain juga parah dan berlumuran darah,” katanya di sini, semalam.

Amirul berkata, sebelum kejadian, dia terdengar bunyi bising seolah-olah letupan di kawasan atas tempatnya dan lima ahli keluarga berkelah namun bunyi itu tidak terlalu kuat.

Katanya, dia diberitahu peniaga sekitar bahawa mangsa adalah penduduk kampung berhampiran.

“Saya difahamkan lokasi kejadian jauh yang perlu berjalan kaki beberapa minit. Memikirkan keselamatan ibu dan lain-lain saya tidak pergi lihat walaupun diberitahu ada mangsa yang parah. 

“Saya cuba menenangkan lelaki itu yang kelihatan terlalu cemas. Dia minta polis supaya datang segera kerana rakannya parah. Lelaki itu juga cedera, mungkin terkena serpihan letupan,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan kejadian yang mengorbankan seorang lelaki itu akibat terkena bahan letupan ketika menghasilkan bom ikan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, mangsa dipercayai menghasilkan sendiri bom tersebut berikutan penemuan peralatan dan mercun bola.

Katanya, bahan kes yang dirampas itudihantar ke bahagian forensik untuk tindakan lanjut dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu mengalami kecederaan parah di leher dan mayatnya dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.  Seorang lagi lelaki cedera parah pada tangan dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN