MCA gesa ahli dekati pengundi muda

MCA gesa ahli dekati pengundi muda

WEE KA SIONG (tengah) menerima cenderamata selepas merasmikan Persidangan Sayap Wanita dan Pemuda MCA Johor di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: MCA menggesa lebih sejuta ahlinya mempergiat usaha menarik keahlian baharu di seluruh negara, khususnya melibatkan golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong percaya golongan muda masih memberi sokongan kepada parti itu kerana mereka melihat realiti yang berlaku dan menolak harapan palsu.

“Kita perlu tambah keahlian parti khususnya melibatkan mereka yang baru tamat persekolahan kerana pada usia 18 tahun mereka menjadi pengundi secara automatik. Jadi, kita perlu dampingi mereka sama ada yang terus bekerja mahupun yang menyambung pengajian.

“PRN lalu buktikan persepsi anak muda menolak Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar kerana banyak saluran pengundi muda kita catat kejayaan. Ini kerana golongan berkenaan bukan hardcore politik dan tidak terikat dengan mana-mana parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Sayap Wanita dan Pemuda MCA Johor di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, golongan berkenaan juga sedar bahawa sebelum ini mereka ditipu dengan harapan dan janji palsu yang ditabur segelintir pihak dalam usaha memancing undi mereka.

“Dahulu mereka (Pakatan Harapan) tabur pelbagai janji, mansuh tol dan mansuh pinjaman pengajian, namun perkara itu tidak dilaksanakan dan golongan muda sedar perkara itu. Mereka tahu antara realiti dan harapan, ia adalah dua perkara yang jauh berbeza dan pastinya mereka mahukan sesuatu perkara yang realiti dalam kehidupan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor enggan mendabik dada kerana menyedari sentimen masyarakat di peringkat akar umbi boleh berubah-ubah dengan pelbagai faktor perlu diambil kira.

“Saya sentiasa dengan rendah diri menyeru sokongan dan tidak mahu kata kita terlalu yakin kerana adat manusia, apabila kita angkuh orang akan cakap bukan-bukan. Jadi yang penting adalah untuk melakukan yang terbaik kerana pada akhirnya, kemenangan akan ditentukan rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN