Masih banyak ruang kerjasama Mindef, Kerajaan Melaka

Masih banyak ruang kerjasama Mindef dan Kerajaan Melaka – Hishammuddin

HISHAMMUDDIN Hussein (tengah, baju hitam) bergambar bersama para pelajar MRSM Terendak di Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masih banyak ruang kerjasama antara Kementerian Pertahanan (Mindef), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi menyelesaikan permasalahan asas membabitkan warga ATM, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jelas beliau, antara masalah yang berhubung kait dengan Kem Terendak di Sungai Udang dekat sini adalah isu air.

Katanya lagi, perkara itu mesti ditangani segera, namun ia menelan kos yang tinggi.

“Apa yang menarik perhatian saya adalah perbincangan yang jujur dan ikhlas berhubung kerjasama dengan semua pihak-pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. Contohnya isu air yang perlu ditangani tetapi menelan kos yang tinggi.

“Saya percaya kalau kita dapat fikirkan kaedah yang terbaik dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta kementerian, usaha untuk menangani masalah ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan.

“Saya rasa isu-isu asas melibatkan elektrik, air, kos sara hidup, persekolahan dan kesihatan perlu diberi perhatian. Kita berharap juga dalam masa terdekat sebuah hospital baharu akan dibina di sini yang mana peruntukan telah ada dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak di sini semalam.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihak swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh bersama-sama kerajaan membantu membela warga dan veteran ATM.

Katanya, syarikat-syarikat swasta yang mendapat pulangan daripada industri pertahanan perlu menyumbang sesuatu bagi menjaga kebajikan warga pertahanan.

“Saya percaya dengan dasar perindustrian yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat, syarikat yang mendapat pulangan daripada industri pertahanan mesti memikirkan sumbangan mereka kepada kebajikan anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka.

“Segala usaha yang kita lakukan ini sudah tentunya dapat dirasai, dihargai dan menaikkan moral warga ATM,” ujarnya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya