KUALA LUMPUR: Masalah yang dihadapi oleh syarikat pemaju dipercayai menjadi punca projek pembinaan Plaza Rakyat di sini terus terbengkalai sejak ia diberhentikan pada 1997.
Ini kerana pemaju projek tersebut telah bertukar tangan beberapa kali namun sehingga kini masih gagal disiapkan.
Sementara itu bercakap kepada Mingguan Malaysia, Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya bertindak selaku pemantau untuk pembangunan projek dalam bandar berikutan status tanah yang telah ditukar dan menjadi hak milik pemaju.
“Saya difahamkan yang pemaju dulu bukan pemilik asal kerana syarikat itu sudah ada pemilik pemegang saham yang baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, apa pun masalah yang mungkin mereka hadapi, projek itu perlu diselesaikan juga kerana mereka sudah membeli tanah daripada DBKL
“Masa beli pun sudah terbengkalai, jadi sudah tentu mereka memahami projek terbengkalai itu patut disiap dengan segera. Mereka sudah dapat projek, maka kena teruskan juga walaupun pahit rintangannya,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Mahadi berkata, DBKL bagaimanapun sentiasa memberi keutamaan dan perhatian kepada projek yang dirancang untuk menjadi hab pengangkutan ibu kota itu
Katanya, ini kerana ia tertakluk dalam perjanjian yang mensyaratkan pemaju supaya melaksanakan projek tersebut dengan segera meskipun tanah itu bukan milik DBKL.
“Kita sentiasa buat pemantauan yang bukan saja melibatkan projek Plaza Rakyat, malah projek berkepentingan yang lain,,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan keadaan bangunan tersebut terbiar dan semakin usang sekali gus timbul persoalan sama ada ia masih boleh dibangun atau perlu dirobohkan sahaja.
Kawasan sekeliling projek itu didapati masih berpagar tetapi tidak dikawal oleh pengawal keselamatan manakala beberapa bahagian dalam kawasan tersebut juga ditakungi air.
Plaza Rakyat mula dibina pada 1992 dan dikatakan bakal menjadi pengganti Pudu Raya sepatutnya dijangka siap pada 2007.
Bangunan itu dirancang dengan ketinggian 382 meter dan ruang seluas 6.6 juta kaki persegi serta mempunyai pelbagai kemudahan seperti ruang niaga, pusat pengangkutan awam, ruang pejabat, pusat hiburan dan hotel.
Namun ia mula terbengkalai sejak 1997 apabila negara menghadapi kemelesetan ekonomi dan sehingga kini terbiar walaupun terdapat beberapa percubaan untuk membangunkannya semula.
Pada 2015, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk menyelesaikan masalah 211 pembeli projek Plaza Rakyat dan Profit Consortium Sdn. Bhd. dilantik menggalas tanggungjawab memulihkan bangunan itu.
Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada 2019, kerajaan memaklumkan projek itu akan dibangunkan semula apabila beberapa perkara diselesaikan oleh pemaju baharu dan dijangka siap tiga hingga lima tahun. – UTUSAN










