Malaysia bakal jadi pusat ‘micro-credentials’ global

Malaysia bakal jadi pusat ‘micro-credentials’ global

MOHAMMAD Shatar Sabran ketika membentangkan cadangan penubuhan ASAIHL Institute (AI) pada Persidangan ASAIHL di University of Warsaw, Poland.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menjadi pangkalan bagi konsortium program jangka pendek (micro-credentials) terbesar dunia di bawah naungan Association of Southeast Asian Institutions of Higher Learning (ASAIHL) Institute (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, agenda penubuhan AI ialah untuk membenarkan institusi di bawah ASAIHL menawarkan program micro-credentials dengan mendaftarkan semua program kursus pendek berkenaan di bawah kendalian AI.

Katanya, terdapat ratusan program micro-credentials di bawah AI untuk ditawarkan kepada masyarakat di seluruh dunia yang berminat mengikutinya berdasarkan program ditawarkan lebih 200 institusi pengajian tinggi (IPT) yang bernaung di bawah ASAIHL.

“Contohnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga anggota ASAIHL mendaftarkan 10 program micro-credentials dan satu daripadanya ialah pengurusan alam sekitar, justeru perincian mengenai program berkenaan termasuk tempoh pengajian dan yuran kursus akan tertera dalam sistem AI nanti.

“Selepas pelajar mendaftarkan diri mengikut kursus micro-credentials pengurusan alam sekitar UPM berkenaan, dia akan mengikuti pengajian dengan tenaga pengajar universiti itu,” katanya selepas membentangkan cadangan penubuhan AI pada Persidangan ASAIHL 2022 di University of Warsaw, Poland, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ahli Lembaga Pengarah ASAIHL dan wakil tunggal dari Malaysia berkata, AI bakal menjadi inisiatif pertama seumpamanya di dunia yang dilaksanakan menerusi konsep konsortium dengan menawarkan program micro-credentials berskala besar. 

Paling penting, katanya,  ia akan diletakkan di Malaysia yang mana Asia e University akan diberi mandat untuk menguruskan dan mempromosi semua program di bawah jaringan AI ini di serata dunia.

“Diharap perkara ini akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan secara langsung atau tidak langsung akan mampu akan membantu hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad untuk mengangkat martabat ‘micro-credentials’ Malaysia di persada antarabangsa.

“Inisiatif ini seterusnya akan membantu menjadikan Malaysia dalam usaha untuk menjadi hab pendidikan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN