JOHOR BAHRU: Bapa kepada dua beradik yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini, kelmarin berhasrat membawa isteri dan dua anaknya berpindah ke rumah lain dalam masa terdekat.
Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, berkata, dia berpindah ke rumah yang terbakar itu empat bulan lalu kerana mendapat pekerjaan di kawasan berhampiran.
Namun, dia tidak menyangka tragedi sedemikian boleh menimpa keluarganya apatah lagi di suatu kawasan baharu yang tidak berapa dikenalinya.
“Sebelum kejadian, saya memang mempunyai hasrat berpindah ke tempat lain tetapi tidak sempat. Dahulu buat keputusan tinggal di sini kerana mendapat pekerjaan di kawasan berhampiran.
“Ini pertama kali saya berpindah selepas berkahwin dengan isteri, Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, hampir lima tahun lalu. Pertama kali pindah sejarah buruk berlaku, saya tak nak duduk sini lagi, terlalu banyak kenangan.
“Perkara pun dah berlaku, kita tidak boleh hendak jangka. Saya juga tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan tidak boleh salahkan sesiapa, sudah ajal mereka macam ini, saya kena terima,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.
Muhammad Fikri dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh ibu saudaranya yang turut menetap di kawasan berhampiran.
“Semasa kejadian saya sudah keluar bekerja, saya hanya dimaklumkan oleh ibu saudara memandangkan telefon bimbit isteri juga sudah terbakar kerana berada dalam rumah sama.
“Anak-anak ketika itu baru lepas mandi dan makan, kemudian isteri keluar untuk membuang sampah dan tidak sampai 15 minit pun, perkara ini berlaku. Perkara kita tak boleh jangka.
“Terakhir saya bersama mereka adalah malam kelmarin apabila mereka menangis mahu minum susu sebelum tidur, itu kali terakhir kerana memang saya akan buatkan susu mereka setiap malam, untuk dua-duanya,” katanya sambil memaklumkan jenazah dua anaknya itudikebumikan di Taman Istimewa, dekat sini.
Muhammad Fikri memberitahu, isterinya masih bersedih dan terkejut dengan kejadian tersebut dan enggan untuk bertemu dengan sesiapa.
Kelmarin, dua anak lelaki itu, Muhammad Zafran, 3, dan Nurul Hawa Zafira, 2, ditemukan rentung dalam kebakaran di kediaman yang disewa keluarga berkenaan pukul 1.41 petang. – UTUSAN