SEREMBAN: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dialu-alukan bertanding di Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, pelawaan itu selepas Menteri Kesihatan itu hari ini mengakui bakal ‘berpindah’ ke kawasan Parlimen lain.
Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan tertinggi UMNO diharap dapat melihat cadangan berkenaan sekali gus merealisasikan hasrat UMNO untuk bertanding di Parlimen Seremban kali ini.
“Saya amat berharap serta mengalu-alukan Khairy untuk bertanding di Parlimen Seremban memandangkan bilangan pengundi muda dan Melayu di sini yang semakin bertambah.
“Pucuk pimpinan parti diharap dapat merealisasikan impian UMNO untuk bertanding di Parlimen Seremban dengan memberi laluan kepada Khairy sebagai calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy dalam satu program di ibu negara hari ini dilaporkan mengakui bakal ‘berpindah’ dari Parlimen Rembau selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhasat untuk bertanding di situ.
Beliau menambah, akan mencari kawasan lain yang mahukannya tetapi sehingga kini masih belum dipastikan lagi kawasan mana yang akan ditandinginya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga akur, sekira namanya tidak dicalonkan UMNO untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.
Sementara itu, Zool Amali berkata, hasrat supaya Khairy bertanding di Seremban sudah dinyatakannya berulang kali sama ada di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan parti.
“Kita semua tahu bahawa Rembau pasti akan jadi milik Tok Mat (Mohamad). Bagi saya Tok Mat dan Khairy adalah pemimpin tersohor dilahirkan UMNO.
“Amat rugi jika Khairy tidak bertanding pada PRU15, dan saya harap impian UMNO untuk bertanding di Seremban dapat tercapai sekali gus mampu memberikan satu kerusi untuk BN dalam membentuk kerajaan kelak,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, kerusi Parlimen Seremban dimenangi oleh Anthony Loke Siew Fook dari DAP dengan majoriti sebanyak 30,694 undi. Siew Fook kini merupakan Setiausaha Agung DAP.
BN di kerusi Parlimen Seremban secara tradisinya ditandingi oleh MCA namun parti itu tewas sejak 2008. – UTUSAN