MADA sudah beri peringatan kepada kontraktor isu jalan bendang lewat siap - Utusan Malaysia

MADA sudah beri peringatan kepada kontraktor isu jalan bendang lewat siap

PETANI di Kampung Benua dan Kampung Kebun Pinang membincangkan nasib dihadapi mereka di atas tapak jalan yang masih belum siap bagi kemudahan mengeluarkan hasil padi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier di Blok Pengairan CCD1a, Wilayah 4 MADA di sini, diselesaikan segera demi kemudahan pesawah di situ.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, MADA memaklumkan pihak mereka bersama penguasa projek sudah tiga kali memberi surat peringatan berdaftar kepada kontraktor di atas kegagalan membekalkan item-item permulaan dan am.

Jelasnya, blok pengairan CCD1a itu melibatkan Kampung Kebun Pinang, Kampung Benua, Kampung Simpang Empat, Kampung Tanah 100, Kampung Kuar dan Kampung Teluk Bagan dengan jumlah peladang seramai 467 orang.

“Antara langkah segera yang perlu diambil bagi mengatasi masalah itu adalah melaksanakan kerja timbunan tanah secara serentak di setiap jajaran ladang, tali air dan parit, menyediakan lintasan sementara atau kekal di lokasi yang telah dikorek jajaran parti serta melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit yang telah siap dikorek.

“Selain itu, kerja-kerja pembinaan struktur diminta supaya dilaksanakan secepat mungkin. Kawasan status quo pengairan dan saliran semasa pembinaan projek juga perlu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada Rabu lalu melaporkan keluhan lebih 300 pesawah di Kampung Benua dan Kampung Pinang mengenai kelewatan pembinaan jalan di kawasan bendang di situ, yang merupakan sebahagian daripada elemen dalam projek tersebut.

Menurut pesawah di situ, kelewatan tersebut akan menyebabkan mereka mengalami kerugian pada musim tuaian padi kerana kesukaran untuk menuai tanaman tersebut.

Kenyataan itu menambah, keluh-kesah pesawah tersebut turut dibangkitkan kepada pegawai penguasa projek agar pihak kontraktor dapat mengoptimumkan kerja-kerja pembinaan.

“Semua itu bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh masa, kos dan kualiti ditetapkan agar segala masalah berbangkit, dapat diselesaikan segera. Dalam masa sama, pihak MADA akan memastikan aktiviti di peringkat ladang dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan gangguan paling minima,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kalangan peladang di kawasan Muda digalakkan untuk menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mahu pun aduan hendak disampaikan.

“MADA bersedia membantu para peladang menjayakan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya