GEORGE TOWN: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menjadi lapangan terbang pertama di negara ini yang mempunyai rangkaian 5G sekali gus memberi nilai tambah dan nilai komersial kepada pengguna lapangan terbang itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, rangkaian teknologi 5G itu disediakan menerusi kerjasama Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Digital Nasional Berhad (DNB) dan YTL Communications Sdn. Bhd..
Menurut beliau, teknologi 5G membolehkan penduduk Pulau Pinang termasuk pengguna LTAPP menikmati pengalaman teknologi mudah alih terkini dengan kelajuan lebih tinggi dan rangkaian lebih terjamin.
”Menerusi teknologi 5G juga pengguna kini boleh menikmati kelajuan muat turun, melayari laman web dan video penstriman yang lebih pantas,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan rangkaian 5G itu di LTAPP, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zairil berkata, kemudahan 5G itu disediakan secara ‘in building system’ (IBS) dan menjadikan tarikan LTAPP bertambah dari segi liputan internet.
”Diharapkan dengan pelancaran rangkaian 5G di Pulau Pinang dan di LTAPP akan menarik lebih ramai pelabur untuk terus merancakkan lagi ekonomi digital di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, berdasarkan statistik liputan telekomunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada suku pertama tahun ini, Pulau Pinang merekodkan kadar penembusan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk sebanyak 152.6 peratus iaitu melebihi kadar nasional 124.1 peratus.
”Bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Pulau Pinang mencatatkan kadar penembusan sebanyak 51.2 peratus juga melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 41.9 peratus,” katanya.- UTUSAN










