Lokein tawar 300 ruang niaga percuma

Lokein tawar 300 ruang niaga percuma melalui platform dalam talian

WAN Hafiz Wan Idris (kanan) bersama Hamidi Baharuddin ketika ditemui pemberita pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) @ Karnival Lokein-O-Rama di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Platform e-dagang, Lokein menyediakan 300 ruang perniagaan percuma kepada usahawan mikro di negeri ini yang berminat memasarkan produk-produk mereka secara dalam talian.

Pengasasnya, Wan Hafiz Wan Idris berkata, langganan percuma selama setahun itu merupakan inisiatif pihaknya dalam usaha menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerokai perniagaan secara digital.

Katanya, tawaran bernilai RM900,000 itu merupakan projek perintis Lokein yang akan diperluaskan sekiranya mendapat sambutan baik dalam kalangan usahawan.

“Usaha membangunkan ekonomi digital ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Bagi penyedia platform e-dagang, kami bersedia memberi sokongan penuh dan membantu usahawan dan PMKS berubah daripada corak perniagaan fizikal kepada perniagaan atas talian,” katanya ketika ditemui pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) @ Karnival Lokein-O-Rama di Stadium Indera Mulia, di sini semalam.

Menurut beliau, sehingga kini Lokein memiliki lebih 4,000 usahawan PMKS di seluruh negara yang memasarkan pelbagai barangan termasuk pakaian, kasut dan aksesori terpakai selain produk vintage.

Katanya, daripada jumlah itu, hampir 70 peratus terdiri dalam kalangan usahawan di Perak.

“Oleh kerana saya sendiri adalah rakyat Perak, jadi saya mahu beri semula sumbangan kepada negeri ini sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama baik kerajaan negeri sekali gus dapat membantu memajukan usahawan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Karnival KAMU @ Lokein-O-Rama, beliau berkata, transaksi jualan melebihi RM1 juta berjaya diperolehi sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

“Sambutan diterima dalam kalangan pengunjung amat memberangsangkan dan di luar jangkaan. 

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri; Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) kerana membantu menjayakan karnival ini,” katanya.

Sementara itu, Penganjur KAMU, Hamidi Baharuddin berkata, lebih 30,000 orang telah mengunjungi karnival itu yang berlangsung pada Jumaat hingga Ahad. 

“Sempena karnival ini, turut diadakan Karnival Kerjaya Perak Sejahtera yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 pencari kerja telah memperolehi peluang kerjaya masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN