SABAK BERNAM: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) optimis mampu mencapai sasaran hasil kutipan cukai langsung melebihi RM139.3 bilion pada tahun ini selaras dengan perkara yang digariskan dalam Bajet 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, pihaknya yakin kutipan itu dicapai berikutan perkembangan positif ekonomi selepas pandemik Covid-19.
“Selain itu, kita mendapati trend pembayaran cukai langsung kini semakin meningkat dan lebih baik.
“Justeru, LHDN optimis mampu mengutip lebih daripada jumlah yang disasarkan iaitu RM139.3 bilion,” katanya
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada program Penanaman Pokok Bakau KDEB Waste Management (KDEBWM), LHDN dan Jabatan Perhutanan Selangor di Hutan Simpan Kuala Bernam, Sungai Apong di sini, hari ini.
Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan menjangkakan kutipan hasil cukai akan kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19 sama ada memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini.
Bagi menyokong hasrat itu, beliau meminta LHDN merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana bagi mencapai sasaran berkenaan dan mengekalkan prestasi baik pada masa depan.
Dalam pada itu, kata Mohd. Nizom, tahap kesedaran individu, perniagaan dan syarikat bagi pematuhan laporan pendapatan semakin meningkat ketika ini dan dalam masa sama meneliti ketirisan cukai mengenai syarikat yang menjalankan penyelewengan subsidi minyak masak.
“Kita sedang membuat penyelidikan bagi mendapatkan anggaran dan peratusan sebenar mengenai pematuhan laporan pendapatan pada masa akan datang. Kita tiada peratusan sebenar kerana ia masih lagi dalam penyelidikan namun ia dijangka meningkat dan lebih baik.
Perkara itu (ketirisan cukai) mendapat kerjasama baik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Tugas LHDN adalah melihat segi ketirisan cukai tidak berbayar manakala KPDNHEP pula faktor penyelewengan subsidi,” jelasnya.- UTUSAN