Lebih 1,000 kanak-kanak, remaja maut kemalangan - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 kanak-kanak, remaja maut kemalangan

IBU bapa melihat pameran sempena Program Inisiatif Keselamatan Pejalan Kaki dalam Kalangan Kanak-Kanak Sekolah di Kadok, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lebih 1,000 kematian membabitkan golongan kanak-kanak termasuk remaja berusia di bawah 18 tahun yang terlibat dalam kemalangan telah direkodkan sepanjang 2019.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Profesor Dr. Kulanthayan KC Mani berkata, pemanduan melebihi had laju menjadi penyumbang utama kepada kematian melibatkan golongan berkenaan.

“Pihak kami tidak menolak kemungkinan jumlah kemalangan akan terus meningkat sekiranya pengguna tidak mengurangkan had laju kenderaan dan mengamalkan pemanduan tidak berhemah. Oleh itu, nasihat kami supaya pengguna mengurangkan had kelajuan kenderaan masing-masing, tidak tergesa-gesa dan terus kekal mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya pada Program Inisiatif Keselamatan Pejalan Kaki dalam Kalangan Kanak-Kanak di sini hari ini.

Beliau yang juga Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, pihaknya turut menggunakan lukisan sebagai bahan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat berkait kemalangan.

Katanya, lukisan merupakan bentuk penzahiran kefahaman kanak-kanak terhadap bahaya kemalangan terutama di kawasan sekolah.

“Saya amat berharap golongan ibu bapa dapat memahami isi hati yang ingin anak mereka sampaikan melalui lukisan tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Kulanthayan berkata, kemalangan yang membabitkan pengangkutan awam terutama bas merekodkan jumlah terendah di negara ini.

Katanya, orang ramai digalakkan supaya menggunakan kenderaan awam sebagaimana dipraktikkan oleh negara-negara maju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN