Larangan tangkap loma untuk elak kepupusan

Larangan tangkap loma untuk elak kepupusan

RAZMAN Zakaria (tengah) bersama pegawai dan anggota bomba pada Penutup Program Pengukuhan Keselamatan di Air Komuniti Nelayan Negeri Perak di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh dekat Batu Gajah semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Tindakan Jabatan Perikanan negeri menguat kuasakan larangan menangkap ikan loma di Sungai Rui di Gerik bertujuan memulihara spesies ikan itu daripada pupus.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, ini berikutan spesis ikan itu semakin berkurangan di sungai tersebut.

Menurutnya, larangan menangkap ikan itu dibuat dalam tempoh dua minggu baru-baru ini juga bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya tidak menangkap spesis tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

“Larangan itu dilaksanakan di bawah satu seksyen Jabatan Perikanan negeri untuk pemuliharaan sumber di Sungai Rui di Gerak. Ini penting untuk menjaga sumber perikanannya agar tidak pupus. 

“Seperti di negara barat, ada musim  ikan salmon.  Apabila ikan ini nak bertelur, ikan-ikan ini akan mudik dan jinak, negara barat sudah mendidik masyarakatnya, jadi mereka tidak tangkap ikan pada waktu itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Penutup Program Pengukuhan Keselamatan di Air Komuniti Nelayan Negeri Perak di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di sini semalam.

Razman berkata, untuk ikan loma, setiap bulan Ogos, September dan Oktober di Sungai Rui, spesis ikan itu mudik untuk melepaskan telur.

Katanya, keadaan itu menarik minat orang ramai untuk menangkap ikan itu sehingga dibuat pesta menyauk loma.

“Apabila dibuat pesta menangkap ikan loma, kita bimbang ia akan mengalami kepupusan.

“Jadi mengikut peraturan Jabatan Perikanan negeri, kita buat penutupan atau larangan menangkap ikan ini selama dua minggu pada bulan September supaya ada ikan yang boleh bertelur selain menjaga kelestarian ikan ini.

“Seperti kita tengok di Sungai Perak sendiri banyak sumbernya sudah mengalami kepupusan.  Sebagai contoh, ikan temoleh, sebab itu menjadi tenggungjawab Jabatan Perikanan memulihara ikan-ikan ini, apatah lagi masa ini tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat kita dalam perkara ini,” katanya.

Ditanya sama ada tempoh larangan itu akan dilanjutkan, Razman berkata, kajian mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Kita tak mahu pada masa akan datang apabila sebut ikan loma, spesis ini sudah tiada, kita boleh cerita sahaja. Jadi kita nak jaga supaya ini boleh berterusan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan keluhan penduduk di sepanjang Sungai Rui di Gerik yang kesal apabila mereka tidak lagi merasai kegembiraan tradisi ‘menyauk’ ikan loma semasa musim hujan yang dilakukan masyarakat setempat sejak berpuluh tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Gerik di Perantauan, Tajuddin M. Ali berkata, ini berikutan papan kenyataan notis awam mengenai larangan menangkap ikan di sungai itu bermula minggu kedua hingga minggu ketiga bulan September di sepanjang Sungai Rui yang dipasang oleh Jabatan Perikanan negeri.

Menurutnya, walaupun tempoh larangan tersebut sudah berakhir, namun penduduk tetap takut untuk ke sungai menangkap ikan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya