PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan selesai melakukan siasatan klinikal, perawatan dan pemantauan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, laporan perubatan tersebut akan dikemukakan kepada mahkamah sekiranya perlu.
“Namun pada masa yang sama Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada Mahkamah (sekiranya diarahkan Mahkamah),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Jabatan Penjara memaklumkan, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jelasnya, Ahli Parlimen Pekan itu akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau. – UTUSAN
Habis.











