Laporan penuh perolehan aplikasi MySejahtera dibentang di Parlimen Selasa ini - Utusan Malaysia

Laporan penuh perolehan aplikasi MySejahtera dibentang di Parlimen Selasa ini

ORANG ramai melakukan imbasan MySejahtera ketika diwajibkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan penuh mengenai perolehan aplikasi MySejahtera di Parlimen pada Selasa ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, semua prosiding terhadap isu tersebut telah ditamatkan dan laporan juga dilengkapkan menerusi beberapa mesyuarat dua minggu lepas.

Menurutnya, dalam prosiding perolehan aplikasi MySejahtera pada 14 dan 21 April lalu, PAC memanggil dua orang menteri sebagai saksi iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, PAC juga memanggil Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) dan pegawai-pegawai kanan MKN untuk beri keterangan.

“PAC telah membuat rumusan mengenai laporan tersebut tetapi saya tidak boleh mendedahkan rumusan yang telah dibuat.

“Persoalan yang dibangkitkan menerusi laporan tersebut perlu dijawab dalam sidang Parlimen oleh kerajaan apabila laporan mengenai perolehan aplikasi MySejahtera akan dibentangkan di Parlimen pada selasa ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

WONG Kah Woh (tengah) dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. – UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS

Kah Woh berkata, aspek pertama siasatan berhubung isu tersebut ialah berkenaan dengan perolehan aplikasi MySejahtera iaitu pelantikan syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. selaku pembangun aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, isu kedua pula melibatkan tempoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang ditawarkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, persoalannya ialah kenapa kerajaan perlu membayar untuk penggunaan dan perkhidmatan aplikasi MySejahtera.

Jelas beliau, pembayaran adalah bermula pada April 2021 sehingga sekarang seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada September yang lepas.

“Ini merupakan persoalan yang akan dijawab dalam laporan kita. Isu ketiga berhubung dengan pemilikan data, segala hak harta intelek dan juga segala pemilikan aplikasi MySejahtera,” katanya.

Mengenai siasatan isu kapal tempur pesisir (LCS), Kah Woh berkata, pihaknya akan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz pada Rabu depan.

“Pegawai kanan kerajaan tersebut perlu memberikan maklum balas kementerian mengenai laporan LCS yang telah dibentangkan pada 4 Ogos lalu,” katanya.

Berhubung isu perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dikatakan lewat disiapkan, Kah Woh berkata, PAC memutuskan untuk memulakan prosiding berhubung isu itu namun tarikhnya belum ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya