Lagu rakyat tiada tempat dalam Anugerah Industri Muzik?

Lagu rakyat tiada tempat dalam Anugerah Industri Muzik?

ARIPIN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM) diminta mewujudkan kategori lagu rakyat untuk terus memartabat, mengangkat dan menghargai karya penulis serta penyanyi dalam genre tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said berkata, sejak AIM diwujudkan pada 1993, tiada kategori lagu rakyat diketengahkan seolah-olah ia tiada nilai kepada industri muzik negara.

Beliau berkata, lagu rakyat perlu dokongan semua pihak dengan dimasukkan dalam AIM, bukan dikesampingkan untuk terus mengangkat khazanah itu supaya ia tidak pupus ditelan zaman.

“Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris pernah berduet menyanyikan lagu rakyat Walinong Sari yang sekali gus mengangkat album Seri Balas diterbitkan pada 11 Januari 1999 menerusi syarikat rakaman Suria Records menang Album Terbaik pada AIM 2000.

“Itupun menang menerusi album terbaik bukannya lagu rakyat diwujudkan sebagai kategori dalam anugerah itu, sudah sampai masanya AIM melihat perkara ini.

“Ia penting supaya kita dapat mengembangkan dan menjadikan lagu-lagu rakyat antara genre kesukaan dan minat rakyat tanah air tercinta ini,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz memohon penganjur AIM mengkaji semula syarat penyertaan bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik bagi mengelakkan kekeliruan.

Azadan dilaporkan berkata, isu penyertaan penyanyi lagu komersial dalam kategori itu sudah lama dibangkitkan mereka, namun hingga ini belum menemui titik penyelesaian.

Aripin berkata, lagu-lagu rakyat Melayu tidak mati di peringkat antarabangsa kerana sebuah universiti di Jerman menjadikan lagu rakyat negara ini sebagai kajian ilmiah budaya orang Melayu.

Beliau berkata, lagu rakyat Melayu dikaji oleh Profesor Gisa dari Universiti Hamburg, Jerman yang mana ia turut dijadikan kandungan kurikulum kepada mahasiswa tahun satu di universiti tersebut.

“Di negara ini apa peranan dan sumbangan kita? Adakah kita mahu lihat lagu rakyat Melayu terus pupus dan semakin dilupakan?

“Berikutan itu, usaha bersepadu sangat diperlukan untuk terus mengangkat lagu-lagu rakyat seperti dijadikan kategori utama AIM, bukan dikesampingkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya