MELAKA: Kerajaan Persekutuan komited menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dan ia dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion kepada Sabah, manakala RM4 bilion lagi untuk Sarawak pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan berkenaan bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Beliau turut menegaskan, Rang Undang-undang Perlembagaan (RUU) (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021, adalah bukti keseriusan kerajaan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
“Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosio ekonomi mapan.
“Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai MA63, akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara.
“Majlis khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini.
“Umpama peribahasa, ‘bersukat sama paras, bertimbang sama berat’. Kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, malam tadi.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh berkenaan tanggal keramat 16 September yang wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan.
“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia, tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.
“Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” jelasnya. – UTUSAN











