SUNGAI PETANI: Dua pasukan terdiri daripada ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK), mengungguli Kejohanan Futsal Media Utara 2022 dianjurkan secara bersama oleh tiga kelab media di utara tanah air, hari ini.
Berlangsung di Amanjaya Sports Arena, pasukan KMEK B muncul juara setelah menewaskan KMEK A.
Kemenangan tersebut terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada waktu sebenar permainan.
Tempat ketiga dimenangi Persatuan Wartawan Perlis (PWP) B yang menundukkan pasukan Kelab Media Mutiara (Mutiara) Pulau Pinang A, juga menerusi penentuan sepakan penalti.
Kejohanan tersebut diserikan dengan perlawanan persahabatan antara wakil ketiga-tiga kelab media tersebut dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pusat Dakwah Murtadha (Madad) yang aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan di negeri ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden KMEK, M. Hifzuddin Ikhsan berkata, kejohanan tersebut dianjurkan dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan sesama petugas media.
“Dengan masing-masing agak sibuk menjalankan tugas, kejohanan ini menjadi medan untuk kami berhimpun, melalui medium yang sihat bagi mengeratkan hubungan.
“Sebagai petugas media, ada kalanya waktu untuk kami bersukan agak terhad disebabkan kekangan tugas. Justeru kejohanan ini diharap mampu menjadi permulaan kepada kejohanan-kejohanan lebih besar yang dapat dianjurkan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










