KLATCC tidak terima panggilan kecemasan daripada juruterbang

Helikopter hilang: Pusat kawalan trafik tidak terima panggilan kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tiada panggilan kecemasan dibuat juruterbang helikopter yang dipercayai hilang tengah hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo berkata, sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

“Pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat. Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada 1 minit,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC telah segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu.

Chester berkata, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Sebelum ini, sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B, pendaftaran N409HH dikendalikan Heli Outpost Sdn Bhd.gagal dihubungi oleh KLATCC pukul 12:16 tengah hari tadi.

Helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12:37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN