Kisah ibu tunggal jaga ibu sakit, anak OKU dapat perhatian

Kisah ibu tunggal jaga ibu sakit, anak OKU dapat perhatian

UMI KALSUM Ree menguruskan keperluan Norjan Ahmad  (kiri) serta  Ainul Nadiah Ree, 38, masing-masing mengalami Cerebral Plasy (CP) di perkampungan nelayan Kuala Juru, Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kisah seorang ibu tunggal dari perkampungan nelayan Kuala Juru, dekat sini, menguruskan ibu sakit serta anak dan adik perempuannya yang kurang upaya mendapat perhatian orang ramai yang menyalurkan sumbangan.

Umi Kalsum Ree, 60, berkata, buat masa ini dia tidak berasa rungsing memikirkan untuk mendapatkan keperluan anak perempuannya Norjan Ahmad, 37, dan adik bongsu Ainul Nadiah Ree, 38, masing-masing menghidap Cerebral Palsy (CP) seperti lampin pakai buang dan susu berbanding sebelumnya.

“Sebelum ini nak beli satu tin susu khas berharga hampir RM100 untuk Norjan pun susah disebabkan tiada wang. Namun sekarang (rasa) bersyukur sangat sebab melalui sumbangan orang ramai (saya) dapat membeli sekurang-kurangnya lima tin susu untuk bekalan seminggu.

“Jadi, anak saya tidak lagi perlu minum air rebusan nasi ekoran bekalan susunya sudah habis. Urusan menjaga keperluannya serta adik perempuan juga berjalan lancar, syukur sangat,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di rumahnya, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain keperluan lampin pakai buang serta bekalan susu, sumbangan itu untuk membeli tiub pakai buang (saluran yang digunakan untuk minum susu melalui hidung) buat Norjan kerana tidak boleh mengunyah makanan seperti kebanyakan insan normal lain.

“Norjan mula sakit CP sejak dia berusia dua tahun ekoran demam panas, jadi sejak hari itu dia terpaksa minum menggunakan saluran tiub yang perlu ditukar setiap dua minggu sekali yang berharga RM100 ke RM150 satu tiub.

“Jika sebelum ini terpaksa tunggu ada duit baru tukar (tiub), sekarang dengan bantuan yang kami terima, setiap dua minggu sekali sudah boleh tukar yang mana itu yang sepatutnya saya lakukan sebelum ini atas saranan doktor,” katanya lagi.

Selain itu, Umi Kalsum menambah, sumbangan orang ramai yang disifatkan pemurah dan prihatin itu digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur seharian dan membeli bekalan ubatan buat ibunya Romlah Saad, 83, yang menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

“Bagi saya apa yang kami terima hari ini adalah rezeki dari Allah SWT kerana mengirimkan orang-orang yang prihatin sama-sama membantu untuk meringankan beban yang ditanggung,” katanya yang tidak bekerja ekoran terpaksa menumpukan sepenuh perhatian bagi menjaga insan tersayang.

Pada 17 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Umi Kalsum Ree yang juga seorang warga emas cekal menjalani kehidupan dengan menguruskan ibunya yang menghidap pelbagai penyakit kronik serta anak dan adiknya masing-masing merupakan OKU terlantar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya